Tuesday 10 April 2012

SEJARAH AWAL KERAJAAN SRIVIJAYA

 Kerajaan Srivijaya


Kerajaan Srivijaya


Abad ke-7–Abad ke-11

Pengembangan terluas Empayar Srivijaya sekitar abad ke-8.
Ibu negara Palembang, Chaiya, Jawa, Kadaram, Dharmasraya
Bahasa Melayu Kuno, Sanskrit
Agama Buddha dan Hindu
Kerajaan Monarki
Maharaja
 - 671–702 Sri Jayanasa
 - 775–792 Sri Dharmasetu
 - 792–840 Samaratungga
 - 988–1008 Sri Chulamanivarman
 - 1008–1017 Sri Mara Vijayatunggavarman
 - 1017–1025 Sri Sangrama Vijayatunggavarman
Sejarah
 - Ekspedisi dan perkembangan Dapunta Hyang, (Batu Bersurat Kedukan Bukit) Abad ke-7
 - Penaklukan Singhasari pada 1288, Majapahit meletakkan suatu penamatan pada pemberontakan Srivijaya pada 1377 Abad ke-11
Mata wang Duit syiling emas dan perak asli

Struktur dan pusat pemerintahan

Candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang, Kedah. Menurut Inskripsi Tanjore, ibu kota Srivijaya pada abad ke-11 adalah di Kadaram (Kedah Tua).
Pembentukan satu negara kesatuan dalam dimensi struktur kuasa politik Srivijaya, dapat diperolehi dari beberapa batu bersurat yang mengandungi maklumat penting tentang istilah-istilah kadātuan, vanua, samaryyāda, mandala dan bhūmi.[26]
Kadātuan boleh membawa erti kawasan dātu, (tnah rumah) tempat tinggal bini hāji, tempat disimpan mas dan hasil cukai (drawy) sebagai kawasan yang mesti dijaga. Kadātuan ini dikelilingi oleh vanua, yang boleh dianggap sebagai kawasan kota Srivijaya yang di dalamnya terdapat vihara yang menjadi tempat beribadah masyarakat. Kadātuan dan vanua ini merupakan kawasan teras bagi Srivijaya itu sendiri. Menurut Casparis, samaryyāda merupakan kawasan yang bersempadan dengan vanua, yang dihubungkan dengan jalan khusus (samaryyāda-patha) yang bermaksud kawasan pedalaman. Manakala mandala merupakan satu kawasan autonomi dari bhūmi yang berada dalam pengaruh kekuasaan kadātuan Srivijaya.
Pemerintah Srivijaya memakai gelaran Dapunta Hyang atau Maharaja, dan dalam lingkaran raja terdapat secara berurutan yuvarāja (putera mahkota), pratiyuvarāja (putera mahkota kedua) dan rājakumāra (pewaris berikutnya).[27] Batu Bersurat Telaga Batu banyak menerangkan pelbagai jawatan dalam struktur pemerintahan kerajaan pada zaman Srivijaya.
Sekitar tahun 1993, Pierre-Yves Manguin melakukan penyelidikan dan berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di Sungai Musi di antara Bukit Siguntang dan Sabokingking (di provinsi Sumatera Selatan sekarang).[2] Namun sebelumnya Soekmono berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di kawasan hiliran Batang Hari, antara Muara Sabak hingga ke Muara Tembesi (di provinsi Jambi sekarang),[1] dengan catatan Mo-lo-yu (I-Tsing) tidak di kawasan tersebut, jika Mo-lo-yu berada di kawasan tersebut, beliau cenderung kepada pendapat Moens,[28] yang sebelumnya juga telah berpendapat bahawa pusat pemerintahan Srivijaya berada di kawasan Candi Muara Takus (provinsi Riau sekarang), berdasarkan anggaran petunjuk arah perjalanan dalam catatan I-Tsing,[29]. Ahli sejarah Thai berpendapat, daerah Chaiya di wilayah Surat Thani juga pernah menjadi pusat pemerintahan Srivijaya, berdasarkan penemuan banyak rumah-rumah ibadat dengan gaya seni bina unik yang berasal dari zaman Srivijaya.[30][31][32] Namun yang pasti pada masa penaklukan Rajendra Chola I, berdasarkan Inskripsi Tanjore, ibu kota Srivijaya adalah di Kadaram (Kedah sekarang).[1]

Hubungan luar

Pada tahun 100 Hijrah (718 masihi) Maharaja Srivijaya yang bernama Sri Indravarman mengutus sepucuk surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan memohon baginda menghantar seorang Ulama bagi menerangkan tentang agama Islam. Surat tersebut berbunyi:
Daripada Raja kepada sekalian Raja yang merupakan keturunan dari seribu Raja-Raja, yang permaisurinya juga merupakan cucu kepada seribu Raja-Raja, yang taman haiwannya mengandungi seribu gajah, yang di dalam wilayahnya terdapat dua sungai yang mengairi pohon jadam, rempah wangi, buah pala dan limau nipis yang aromanya tersebar sejauh 12 batu. Ke hadapan Raja Arab yang tidak menyembah tuhan-tuhan yang lain selain Allah. Aku telah mengirim padamu satu hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan. Aku mohon agar kamu menghantar padaku seseorang yang boleh mengajarku tentang Islam dan menerangkan padaku undang-undangnya.[33]
Empayar Srivijaya dan kerajaan-kerajaan lain di Asia pada tahun 900 masihi.
Peristiwa ini menjadi bukti yang istana Srivijaya telah menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan dunia Islam-Arab. Bagaimanapun ia tidak bermaksud yang Maharaja Srivijaya telah memeluk Islam, tetapi mungkin untuk menunjukkan hasrat Sri Indravarman yang ingin mendalami undang-undang dan budaya rakan dagang Srivijaya dan tamadun-tamadun di sekitarnya seperti China, India dan Timur Tengah.
Srivijaya menjalin hubungan yang erat dengan Kerajaan Pala di Benggala. Inskripsi Nalanda yang bertarikh 860 masihi ada mencatatkan yang Maharaja Balaputradewa menghadiahkan sebuah kuil Buddha kepada Universiti Nalanda. Hubungan dengan kerajaan Chola di selatan India juga pada mulanya sangat baik. Sekitar tahun 1005 masihi, Maharaja Sri Chulamanivarman yang dirujuk dalam inskripsi-inskripsi India sebagai "Raja Kataha dan Srivijaya" telah mengarahkan pembinaan sebuah kuil Buddha di Nagapattinam, selatan India yang dinamakan bersempena namanya iaitu Chulamanivarmavihara. Rajaraja Chola I menghadiahkan harta yang banyak dari sebuah kampung kepada kuil ini.[34][35]
Sri Chulamanivarman juga meneruskan tradisi menjalin hubungan yang erat dengan negeri China seperti yang diamalkan pendahulu-pendahulunya, dengan menghantar beberapa utusan ke sana.[36] Pada tahun 1003 masihi, Raja Se-li-chu-la-wu-ni-fu-ma-tian-hwa (Sri Chulamanivarman) menghantar dua utusan menghadap Maharaja China bagi menyampaikan ufti; mereka menceritakan yang negara mereka ada membina sebuah kuil Buddha bagi mendoakan kesejahteraan Maharaja dan mereka memohon perkenan Maharaja China untuk memberikan nama dan loceng untuk kuil tersebut. Satu titah perintah telah dikeluarkan dengan kuil itu mendapat nama Cheng tien wan shou yang bermaksud "kurniaan 10,000 tahun dari Syurga" (dipercayai Candi Bungsu, salah satu bahagian dari candi yang terletak di Muara Takus[37]) dan sebuah loceng ditempa untuk dihadiahkan kepada utusan tersebut. Beberapa utusan kemudiannya dihantar lagi ke negeri China pada tahun 1004, 1008, 1016, 1017 dan 1018.[34]
Hubungan yang erat Srivijaya dengan dua kuasa besar di Asia pada masa itu, Chola di India dan Dinasti Song di China telah membolehkan putera Sri Chulamanivarman yang menggantikannya, Maharaja Sri Mara Vijayatunggavarman membalas dendam perbuatan Raja Dharmawangsa dari Kerajaan Medang di Jawa Tengah yang menyerang Srivijaya pada tahun 990 masihi. Pada tahun 1006 masihi, bala tentera Srivijaya menyerang Kerajaan Medang dan menghancurkan Istana Watugaluh di Pulau Jawa. Dharmawangsa dan para pembesarnya kemudiannya dibunuh, membawa kepada berakhirnya Kerajaan Medang.[34]
Hubungan baik Srivijaya dengan Kerajaan Chola bagaimanapun tidak kekal lama apabila Rajendra Chola I menaiki takhta pada tahun 1012 dan melancarkan perang ke atas Srivijaya pada tahun 1025 masihi.[38] Rajendra Chola I menakluk hampir kesemua kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Serangan besar-besaran kerajaan Chola ini bagaimanapun tidak membawa kepada kelangsungan politik Chola ke atas wilayah-wilayah yang diserang kerana pada tahun 1028 masihi, Maharaja Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang ditawan di Kadaram telah digantikan oleh seorang Maharaja baru yang kemudiannya menghantar satu utusan ke negeri China. Dalam Sejarah Sung, Maharaja ini dikenali dengan nama Shih-Li-Tieh-Hua atau "Sri Deva" (berkemungkinan satu nama yang tidak lengkap).[34]

Agama

Kerajaan Srivijaya banyak dipengaruhi oleh agama-agama besar dari India, pada mulanya oleh agama Hindu kemudian diikuti pula oleh agama Buddha. Dari catatan Keterangan tentang Orang Gasar yang dikumpulkan pada zaman Dinasti Sung, masyarakat "San Bo Tsai" dikatakan ada mengamalkan satu adat yang dikenali sebagai Tung-Sheng-Ssu (hidup dan mati bersama), yang mirip dengan amalan Suttee dari agama Hindu.[39] Namun, berdasarkan catatan China dan India yang lain serta penemuan arkeologi, Srivijaya merupakan pusat agama Buddha yang utama di Kepulauan Melayu.
Sebagai pusat perkembangan agama Buddha Vajrayana yang utama, Srivijaya menarik ramai penziarah dan sarjana dari negara-negara lain di Asia, antara yang terkenal ialah sami Buddha dari China, I-Tsing. Pada tahun 671 masihi, dalam perjalanan ke Universiti Nalanda, India, beliau singgah di Srivijaya untuk mempelajari Sabdavidya (tatabahasa Sanskrit). Pada tahun 695, beliau melawat Srivijaya sekali lagi untuk mendalami agama Buddha. Menurut I-Tsing, penduduk Srivijaya melakar imej-imej Buddha dengan emas dan memberi sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas. Ibu kotanya didiami oleh ramai sarjana Buddha dan menjadi pusat pembelajaran agama Buddha yang utama di seluruh Nanyang (laut selatan).
Banyak raja dan pemimpin yang berada di pulau-pulau di Laut Selatan percaya dan mengagumi Buddha, di hati mereka telah tertanam perbuatan baik. Di sebalik tembok kota Srivijaya, terdapat lebih dari 1000 sami Buddha, yang belajar dengan tekun dan mengamalkannya dengan baik. Mereka mengkaji dan mempelajari semua subjek yang wujud sama seperti di "Kerajaan Tengah" (Madhya-desa, India); tidak banyak perbezaan dalam aturan-aturan dan upacara-upacaranya. Jika seorang biarawan Cina ingin pergi ke Barat (India) untuk mendengar (syarahan) dan membaca (teks asli), lebih baik ia tinggal dulu di sini selama satu atau dua tahun untuk mendalami aturan-aturan yang betul sebelum melanjutkan pelajaran ke tengah India. - I-Tsing[40]
Selain aliran Vajrayana, ajaran Buddha dari aliran Hinayana dan Mahayana juga turut berkembang di Srivijaya. Dharmarakshita atau Suvarnadvipi Dharmakīrti, salah seorang sarjana Buddha yang terkenal dengan teks Mahayana beliau, "Roda Senjata Tajam" (Bahasa Tibet: blo-sbyong mtshon-cha 'khor-lo) hidup pada zaman pemerintahan Sri Chulamanivarman, dan merupakan ketua sarjana Buddha di Suvarnadvipa (Sumatera). Sarjana Buddha dari Benggala yang terkenal dengan peranannya mengembangkan Buddha Vajrayana di Tibet iaitu Atisha, dikatakan pernah berguru dengan Dharmarakshita di Sumatera, dari tahun 1011 hingga 1023 masihi.[41]
Kemahsyuran Srivijaya sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara berkemungkinan besar menarik minat para pedagang dan ulama Muslim dari Timur Tengah menyebarkan agama Islam. Beberapa kerajaan yang pada mulanya merupakan sebahagian dari Srivijaya, bakal muncul menjadi kerajaan-kerajaan Islam di Semenanjung dan Sumatera, ketika pengaruh Srivijaya semakin lemah. Ada sumber yang menyebut, kerana pengaruh orang muslim Arab yang banyak berkunjung dan berdagang di Srivijaya, maka seorang raja Srivijaya yang bernama Sri Indrawarman pada tahun 718 berminat untuk mengetahui tentang agama Islam[42], sehingga mungkin kehidupan sosial Srivijaya adalah masyarakat sosial yang di dalamnya terdapat masyarakat Buddha dan Muslim sekaligus. Tercatat beberapa kali raja Srivijaya mengutus surat kepada khalifah Islam di Damsyik. Salah satu naskhah surat yang ditujukan kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720) berisi permintaan agar khalifah sudi mengirimkan da'i ke istana Srivijaya.[43]

Seni dan Budaya

Arca emas Avalokiteçvara dengan ciri Srivijaya, ditemui di Rataukapastuo, Muarabulan, Jambi, Sumatera.
Berdasarkan beberapa sumber sejarah, satu masyarakat kosmopolitan yang kompleks dengan nilai peradaban yang tinggi, dipengaruhi secara mendalam oleh aliran Buddha Vajrayana, telah mendiami ibu kota Srivijaya. Batu Bersurat Talang Tuwo dari abad ke-7 ada menerangkan tentang satu ritual agama Buddha untuk memberkati upacara perasmian satu taman Sriksetra (taman awam), anugerah Maharaja Srivijaya untuk rakyatnya. Batu Bersurat Telaga Batu menggambarkan kerumitan susunan pangkat para pembesar dalam kerajaan Srivijaya, sementara Batu Bersurat Kota Kapur menyebut tentang kekuatan bala tentera Srivijaya ke atas Pulau Jawa. Kesemua batu-batu bersurat ini adalah dalam Bahasa Melayu Kuno, bahasa yang digunakan oleh orang Srivijaya yang merupakan leluhur bagi Bahasa Melayu Klasik yang kemudiannya menjadi asas kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia moden. Sejak abad ke-7, Bahasa Melayu Kuno telah digunakan di Nusantara, dibuktikan oleh batu-batu bersurat Srivijaya dan beberapa batu bersurat yang menggunakan Bahasa Melayu Kuno yang ditemui di pesisir pantai Kepulauan Melayu, contohnya batu bersurat Bukateja, Gandasuli, Kayumwungan, Sojomerto dan Manjusrigrha yang ditemui di Jawa, serta Plat Tembaga Laguna yang ditemui di Manila, Filipina. Perkembangan perdagangan merupakan antara faktor utama penyebaran Bahasa Melayu Kuno kerana ia adalah medium komunikasi yang utama bagi para pedagang. Sejak itu, Bahasa Melayu Kuno menjadi Lingua franca dan digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu.[44]
Sejarah Sung (960-1279) ada menceritakan sedikit sebanyak tentang masyarakat "San Bo Tsai" (Srivijaya). Menurut Sejarah Sung, Orang Srivijaya menyapu badan mereka dengan sejenis minyak wangi dan mereka menghasilkan arak dari bunga, kelapa, pin-lang atau madu. Mereka menulis menggunakan tulisan Sanskrit dan Rajanya menggunakan cincinnya sebagai Cop Mohor, mereka juga tahu menulis dalam karakter Cina yang selalunya digunakan ketika menghantar ufti. Selain itu, ramai orang Srivijaya mempunyai pangkal nama "Pu". Keterangan tentang Orang Gasar yang juga dikumpulkan pada zaman Dinasti Sung menyebut yang orang Srivijaya melilit badan mereka dengan pakaian dari kapas (Sarung) dan menggunakan payung dari sutera. Mereka berperang di darat dan juga di laut dan organisasi ketenteraannya sangat baik. Apabila seseorang Raja mangkat, rakyat akan mencukur kepala mereka sebagai tanda berkabung. Di ibu kotanya, terdapat satu arca Buddha yang dipanggil "Gunung Emas dan Perak". Rajanya pula sering mendapat gelaran "Sari Ular", dan baginda memakai satu mahkota dari emas yang sangat berat. Negara Srivijaya mempunyai beberapa pusat perdagangan utama yang mengawal semua kapal yang keluar masuk, sempadan-sempadan pelabuhan ditandakan dengan rantai-rantai besi.[39]
Meskipun mampu membina kekuatan ekonomi, budaya dan ketenteraan yang hebat, Srivijaya hanya meninggalkan sejumlah kecil monumen arkeologi di pusat kerajaannya di Sumatera, berbeza dengan kawasan yang pernah mendapat pengaruhnya di bawah pimpinan dinasti Sailendra di Jawa Tengah yang memiliki tinggalan monumen seperti mandala Kalasan, Sewu dan Borobudur. Kuil-kuil Buddha yang dibina pada zaman Srivijaya di Sumatera antaranya ialah Candi Muaro Jambi, Muara Takus dan Biaro Bahal, bagaimanapun tidak seperti kuil-kuil di Jawa Tengah yang dibina dari batu andesit, kuil-kuil di Sumatera dibina dari batu bata merah.
Beberapa arca seperti Buddha dan Boddhisattva Avalokiteshvara telah ditemui di Bukit Seguntang,Palembang,[45] Jambi,[46] Bidor, Perak[47] dan Chaiya, Surat Thani.[48] Kesemua arca ini menampilkan keanggunan dan gaya biasa yang dikenali sebagai "Seni Srivijaya" yang memperlihatkan kemiripan - mungkin diilhamkan - dari seni Amaravati India atau Sailendra (abad ke-8 - ke-9).[49]

[sunting] Perdagangan

Dalam dunia perdagangan, Srivijiya adalah empayar yang mengawal dua laluan utama antara India dan China, iaitu Selat Sunda dari Palembang dan Selat Melaka dari Kedah. Catatan Arab menyatakan yang empayar Maharaja Srivijaya adalah sangat luas sehinggakan kapal yang paling laju pada zaman itu pun tidak mampu untuk belayar mengelilingi semua pulau-pulanya selama dua tahun. Menurut keterangan I-Tsing, Raja Srivijaya memiliki kapal-kapal yang banyak untuk tujuan perdagangan. Komoditi utama adalah rotan, gaharu, kino merah, kapur barus, jadam, cengkih, minyak cendana, buah pala, buah pelaga, buah pinang, buah kelapa, kemukus, gading dan timah, menjadikan kekayaan Maharajanya setanding dengan mana-mana raja di India.[29]. Srivijaya juga adalah negara yang sangat kaya dengan emas, bahkan I-Tsing pernah menggelarnya sebagai "Chin Chou" atau "Kepulauan Emas". Rakyatnya menyediakan sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas, menggunakan bekas-bekas dari emas, dan membina arca-arca dari emas. Berbeza dengan mata wang China pada zaman tersebut yang biasanya diperbuat dari tembaga, loyang atau besi, orang Srivijaya hanya menggunakan emas dan perak dalam perdagangan.[39]
Selain menjalin hubungan dagang yang menguntungkan dengan India dan China, Srivijaya juga membentuk jaringan perdagangan dengan dunia Arab. Berkemungkinan besar, satu utusan yang dihantar Maharaja Sri Indravarman untuk menyampaikan surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dari Kerajaan Bani Umayyah pada tahun 718 masihi, telah kembali dengan Zanji (hamba wanita kulit hitam dari Zanj), hadiah Khalifah kepada Maharaja. Kemudiannya, catatan China ada menyebut tentang Shih-li-t-'o-pa-mo (Sri Indravarman), Maharaja Shih-li-fo-shih yang menghantar kepada Maharaja China ts'engchi (sebutan China untuk perkataan Arab Zanji) sebagai hadiah.[33]  




-Posted by http://ms.wikipedia.org/wiki/Srivijaya

No comments:

Post a Comment