Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhanmu tidaklah
bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman
sebelum itu, atau dia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya."
[Surah Al-An'am: 158]
Sabda Rasulullah s.a.w. yang
diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmizi dari Abu Hurairah r.a. yang
bermaksud: "Tiga perkara yang apabila telah muncul maka tidaklah
bermanfaat iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman
sebelum itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam imannya itu iaitu
terbitnya matahari dari barat, Dajjal dan binatang yang keluar dari
perut bumi."
Para ulama Ahli sunnah wal
Jamaah menjelaskan bahawasanya Dajjal pasti akan muncul kerana
hadis-hadis yang menceritakan tentangnya telah mencapai taraf mutawatir
sebagaimana dibentangkan takhrij hadis-hadisnya oleh Syeikh Muhammad
Nasiruddin Al-Albani dalam kitabnya "Qisshah al-Masih al-Dajjal wa
Nuzuli 'Isa 'Alaihi Solatu Wassalam wa Qatlihi Iyyahu."
Begitu juga tanda-tanda kiamat
selain dajjal diikuti juga dengan tanda-tanda yang lain antaranya
seperti gempa bumi di sebelah timur, barat dan jazirah arab, keluarnya
asap, binatang dari perut bumi, Ya'juj dan Ma'juj, terbitnya matahari
dari sebelah barat, dan keluarnya api dari lembah 'Adn yang mengiringi
manusia. Hal ini disampaikan oleh Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim dalam
kitab al-Fitan Asyrath al-Sa'ah, sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya
kiamat itu tidak akan datang sehingga terjadinya sepuluh tanda…"
kemudian disebutkan tanda-tanda sebagaimana telah disebutkan tadi
termasuk dajjal.
Disebabkan itulah hendaklah kita
beramal soleh sebanyak yang mungkin sebelum keluarnya tanda-tanda
kiamat yang besar di atas. Disamping munculnya dajjal juga akan muncul
al-Mahdi dan Nabi Isa a.s. Ini semua telah disampaikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. melalui hadis-hadisnya yang sahih.
Sifat-sifat Dajjal
Dajjal adalah seorang lelaki
muda yang berkulit merah, tubuhnya pendek, berambut kerinting, lebat dan
tidak terurus, dahinya lebar, sebelah matanya buta (dalam riwayat
Bukhari menyatakan sebelah kanan manakala Imam Muslim meriwayatkan yang
buta adalah sebelah kiri), mata kirinya tidak nampak jelas dan ada
kulit yang tipis selaput mata yang menebal dalam riwayat lain ia
berwarna hijau seperti bintang mutiara. Manakala mata kanannya sangat
jelas seperti buah anggur yang terapung dalam riwayat lain tidak
menonjol dan tidak pula timbul ke permukaan. Sedang di antara kedua
matanya tertulis perkataan 'kafir' yang dapat dibaca oleh orang yang
beriman dan orang yang sangat benci pada perbuatannya sama ada yang
pandai membaca atau yang buta huruf. [Kisah Dajjal, Al-Albani, hal
168-169, Pustaka Imam Syafi'i]
Dajjal adalah makhluk paling besar fitnah yang dibawa olehnya. Dajjal juga tidak mempunyai anak dan keturunan.
Keluarnya Dajjal
Dajjal akan keluar dari arah
sebelah timur yang bernama khurasan di kampung Yahudiyah kota Ashbahan.
Kemudian dajjal akan mengembara ke seluruh dunia. Tidak terdapat satu
pun tempat yang tidak pernah dimasuki dajjal kecuali Mekah dan Madinah.
Diriwayatkan juga dajjal tidak dapat memasuki empat buah masjid iaitu
Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Masjid Thur dan Masjid Al-Aqsa. Dajjal
keluar dari perkampungan yahudiyah kota Ashbahan bersama tujuh puluh
ribu orang Ashbahan sebagaimana diterangkan dalam hadis riwayat Ahmad.
Tiga tahun sebelum kemunculan
dajjal manusia dilanda kesusahan dalam kehidupan mereka. Manusia pada
ketika itu kelaparan disebabkan bekalan makanan yang tidak mencukupi.
Pada tahun pertama, sepertiga langit tidak menurunkan hujan serta
sepertiga juga dari tumbuh-tumbuhan tidak tumbuh. Kemudian pada tahun
kedua, bertambah lagi dua pertiga sehingga ke tahun yang ketiga sama
sekali tidak ada lagi hujan yang turun dan begitu juga dengan
tumbuh-tumbuhan kesemuanya mati dan haiwan-haiwan juga mati akibat
ketiadaan makanan kecuali beberapa haiwan sahaja. Nabi s.a.w. berpesan
bekalan makanan manusia pada ketika itu adalah bacaan tahlil, takbir,
dan tahmid.
- http://al-muwahhidun.blogspot.com/2008/05/kisah-dajjal-bhgn-1.html
No comments:
Post a Comment